10/02/08, 1:19 am

Pengiraan Dividen & Bonus ASB

Mungkin masih ramai di antara kita yang kurang jelas tentang pengiraan pengagihan keuntungan dividen dan bonus untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ramai yang membuat pengiraan bahawa pengagihan dividen dan bonus dikira sekali dengan jumlah baki semasa pelaburan ASB kita.

Pengiraan tersebut adalah silap. Sebenarnya, ianya dipecahkan kepada dua bentuk pengiraan. Satu pengiraan untuk dividen manakala satu lagi pengiraan adalah untuk bonus. Kedua-duanya mempunyai konsep pengiraan yang berbeza.

Untuk pengiraan pengagihan dividen, ia berdasarkan pada purata baki pegangan minimum bulanan (BMB) bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan. Baki minimum bulanan ini berdasarkan kepada baki yang terendah ditinggalkan oleh para pelabur ASB sepanjang 12 bulan untuk satu-satu tahun kewangan. Untuk memudahkan kiraan kita ambil tahun kewangan 2007 iaitu pulangan dividen sebanyak 8%.

Teknik Pengiraan Dividen ASB 2007 :
1) Senaraikan baki pegangan minimum dari bulan Januari hinggalah Disember untuk tahun 2007;
2) Jumlahkan kesemua baki pegangan minimum bulanan tersebut;
3) Bahagikan kepada 12 untuk mendapat purata baki pegangan minimum bulanan tersebut;
4) Jumlah purata yang diperolehi didarab dengan peratusan dividen untuk tahun kewangan tersebut. Contohnya untuk tahun 2007 adalah sebanyak 8%;
5) Dapatlah jumlah keuntungan dividen untuk tahun 2007.

Seterusnya, untuk pengiraan bonus pula adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan untuk tempoh sepanjang 10 tahun. Misal kata untuk tahun kewangan 2007 ianya dikira berdasarkan berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan dari tahun 1998 hinggalah tahun 2007.

Teknik Pengiraan Bonus ASB 2007 :
1) Senaraikan baki pegangan minimum bulanan untuk setiap bulan dari tahun 1998 hinggalah ke tahun 2007;
2) Jumlahkan kesemua baki pegangan minimum bulanan tersebut;
3) Bahagikan kepada 120 untuk mendapatkan purata baki pegangan minimum bulanan sepanjang tempoh 10 tahun;
4) Jumlah purata yang diperolehi tadi didarab dengan peratusan bonus untuk tahun kewangan tersebut. Contohnya untuk tahun 2007 adalah sebanyak 1%;
5) Dapatlah jumlah bonus untuk tahun 2007.

Untuk melihat contoh pengiraan yang lebih jelas, kalian boleh rujuk pada web di sebelah ini. >> Web Blogsaham.

Satu lagi nasihat saya, jangan lupa menolak keuntungan dari kadar dividen & bonus ASB dengan kadar inflasi semasa, kerana inflasi ini adalah merupakan musuh secara senyap di dalam kewangan kita. Silap-silap boleh rugi kita dibuatnya! :)

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (3 votes, average: 4 out of 5)
Loading ... Loading ...
1,838 Views
Share This  |  Kembali Ke Halaman Utama!

Apa Komen / Pendapat Anda?